Lelaki berusia lingkungan 30-an itu yang dipercayai di bawah pengaruh dadah jenis Methaphetamine turut mengancam membakar stesen minyak berkenaan sambil menghayun pam minyak ke arah orang ramai.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim ketika mengesahkan kejadian itu berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 malam apabila suspek yang bekerja di sebuah pasaraya di sini hendak menyalakan sebatang rokok di premis berkenaan.

Beliau memberitahu, perbuatan lelaki warga asing itu bagaimanapun dilihat orang ramai lalu menegurnya agar tidak berbuat demikian kerana berbahaya.

“Malangnya teguran itu tidak diendahkan malah suspek berang dan terus mencapai pam minyak lalu mengamuk sambil menjerit-jerit mengugut untuk membakar stesen minyak tersebut.

“Tindakan suspek itu menyebabkan orang ramai yang berada di tempat kejadian segera melarikan diri,” katanya sambil menambah, suspek bertindak lebih agresit dan terus mengamuk.

Menurutnya, kira-kira setengah jam kemudian, lelaki Myanmar itu berjaya diberkas orang ramai sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan ujian air kencing didapati positif. - UTUSAN ONLINE