Wanita tersebut ditahan bersama empat yang lain iaitu suami dan adik perempuan serta abangnya yang masing-masing berusia 30-an di rumah mereka dalam operasi oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak di Pantai Remis pada pukul 11 malam semalam.

Ketika dibawa ke Pejabat AADK Manjung, anak lelaki wanita berkenaan berusia tiga tahun yang tidak boleh berjalan mengalami kejang badan sebanyak tiga kali.

Ketua Unit Penguatkuasaan AADK Perak, Zaini Abdul Hamid berkata, empat sekeluarga itu antara 66 individu berusia 18 hingga 69 tahun yang ditahan selepas dipercayai penagih dadah dalam Operasi Perdana di Pantai Remis, Beruas dan Lekir, Sitiawan semalam.

Menurutnya, wanita berkenaan mendakwa sudah tiga bulan mengambil dadah dan mendakwa dia dan adik perempuannya dipengaruhi suaminya yang sudah lama menagih.

"Abang wanita itu juga mempunyai rekod menagih. Mereka tinggal bersama dan kerap mengambil dadah namun tidak dilakukan di hadapan anak dan ahli keluarga lain.

“Hasil ujian air kencing mendapati pasangan suami isteri dan dua ahli keluarganya yang merupakan antara 66 individu yang ditahan positif dadah jenis opiat, ganja dan metamphetamine," katanya, di sini hari ini.

Menurutnya, ketika serbuan, beberapa individu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

Katanya, sebanyak 65 daripada mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 manakala seorang didakwa di bawah Subseksyen 6(2) Akta Penagih Dadah kerana melanggar syarat pengawasan.

"Kesemua mereka dibawa ke Pusat Tahanan Reman Batu Kurau. Kami akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa untuk membanteras kegiatan penagihan dadah," katanya.