Tidak cukup dengan itu, mang­sa turut didakwa dibiarkan tidur bersama anjing di luar rumah sejak lebih sebulan lalu selain tidak diberikan makanan mencukupi.

Bagaimanapun, penderitaan yang ditanggung seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 21 tahun itu berakhir selepas dia disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.45 petang ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Adelina yang berasal dari Medan, Indonesia meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini akibat sesak nafas iaitu kurang 24 jam selepas diselamatkan dari rumah majikannya di sini.

Terdahulu, polis petang semalam menyelamatkan mang­sa selepas menerima laporan daripada orang awam berkenaan nasib yang menimpa mangsa selepas dilihat dibiarkan tidak bermaya di luar sebuah rumah di Taman Kota Permai 2, Bukit Mertajam di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, orang awam itu yang menerima maklumat daripada seorang wartawan pergi ke rumah berkenaan dan melihat sendiri keadaan mangsa.

“Ketika ditemui mangsa enggan berkomunikasi dan kelihatan berada dalam keadaan trauma dan ketakutan.

“Berikutan itu, orang awam berkenaan cuba bercakap dengan seorang wanita berusia 60-an yang berada di rumah berkenaan namun diberi amaran supaya tidak masuk campur,” katanya kepada pembe­rita di sini hari ini.

Menurutnya, orang awam ber­­ke­naan kemudiannya menghubungi salah seorang anak wani­ta berkenaan dan memaklumkan akan membuat laporan polis.

Tidak lama selepas itu, katanya, salah seorang penghuni rumah berkenaan membawa mangsa keluar dipercayai untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Susulan itu, Nik Ros Azhan menambah, pihaknya semalam menahan reman dua beradik masing-masing lelaki dan wanita berusia 36 dan 39 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya, mereka ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Balai Polis SPT.

“Bedah siasat ke atas mangsa akan dilakukan pukul 9 pagi esok dan kes ini disiasat di bawah Sek­syen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.