Dalam operasi pada pukul 12.05 tengah hari, khamis lalu, KPDNHEP telah mengenalpasti sebuah permis yang menjual alat ganti motosikal Honda di kawasan ketereh dan menjumpai pelbagai kompenen palsu.

Pemangku Pengarah KPDNHEP negeri, Firdus Zakaria berkata, ini ekoran daripada aduan yang dibuat oleh pengeluar alat ganti tersebut selepas mendapati produk keluaran mereka telah diciplak dan dijual di kedai tersebut.

Beliau berkata, bertindak atas laporan tersebut pihaknya telah membuat serbuan ke atas kedai tersebut dan mendapati pelbagai komponen alat ganti palsu terdapat di kedai tersebut.

"Produk tiruan hampir sama dengan produk asli tetapi ada perbezaan pada logo Honda.

"Ini adalah tindakan kali pertama serta aduan yang pertama untuk tahun ini melibatkan alat ganti tiruan motosikal," katanya dalam sidang akhbar di stor KPDNHEP, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Munurut Firdus, produk tiruan ini lebih laris daripada produk asli kerana permintaan yang sangat tinggi disebabkan harga yang sangat murah.

Dalam perkembangan lain, Firdus memberitahu sebanyak 13 kes pada tahun ini yang telah berjaya melibatkan perihal dagangan tiruan dan nilai rampasan sebanyak RM182,804. - UTUSAN ONLINE