Bermaharajalela sejak lima bulan lalu, kumpulan enam lelaki berusia antara 21 hingga 26 tahun itu menggunakan motosikal KTM Duke setiap kali menyamun dan mereka juga tidak teragak-agak untuk mencederakan mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner, Fadzil Ahmat berkata, kesemua suspek diberkas kelmarin hasil operasi khas oleh Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Kontinjen negeri.

“Geng Duke menjadikan KK Mart, 7 Eleven, kedai runcit serta stesen minyak sebagai sasaran dan kita mendapati sebanyak 27 kes samun bersenjatakan parang dilakukan kumpulan ini membabitkan kerugian kira-kira RM68,000.

“Dalam beberapa kejadian samun, kumpulan ini telah mencederakan mangsa dan keadaan tersebut menimbulkan ketakutan kepada masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Selangor di sini hari ini.

Menurut Fadzil, kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 dan 392 A Kanun Keseksaan. -UTUSAN ONLINE