Aksi mendebarkan kira-kira pukul 10.30 malam itu berakhir apabila dua suspek berkenaan berjaya ditahan dengan salah seorang mereka cedera di paha kanan dipercayai akibat terkena tembakan yang dilepaskan polis.

Suspek yang cedera berusia 28 tahun manakala rakannya berusia 39 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, sebelum itu, sepa-sukan anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tumpat membuat intipan di sebuah rumah di Kampung Paya Purnama, Jalan PCB, di sini berhubung kes samun berkumpulan di Tumpat pada 10 Februari lalu.

Katanya, sebuah Perodua Kembara dinaiki suspek tiba-tiba me-rempuh bahagian depan kereta peronda memaksa anggota polis melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri.

“Mereka seterusnya memecut laju ke arah pusat bandar sambil dikejar kereta peronda. Ketika tiba di Wakaf Mek Zainab, suspek berhenti dan salah seorang daripada mereka keluar meninggalkan kenderaan.

“Polis berjaya menahan dia yang cuba melarikan diri dengan motosikal. Rakannya yang cedera dan ditinggalkan di dalam kereta turut ditahan sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut Mazlan, suspek yang cedera merupakan individu yang sudah lama dikehendaki polis atas beberapa kes jenayah.

“Kedua-kedua mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan berhubung kes samun bernilai RM600,000 di sebuah rumah di Kampung Dalam Rhu, Tumpat,” katanya.

Mazlan memberitahu, pihaknya kini sedang memburu dua lagi rakan suspek yang dipercayai turut terlibat dalam kes samun tersebut.

“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai untuk memberikan maklumat kerana geng penjenayah ini disyaki terlibat dalam kes-kes samun di sekitar Tumpat, Kota Bharu dan Machang,” katanya.