Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Noh Idris berkata, 10 anggota diketuai Koperal Romdzan Awang menjumpai sebuah kereta dan motosikal diletakkan tepi jalan tanah merah berhampiran Kampung Pengasah dekat sini kira-kira pada pukul 7 petang.

“Semasa tinjauan anggota Aksem mendapati tiga lelaki terbabit berada berdekatan kawasan tersebut dan mengaku kenderaan terbabit milik mereka.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut mendapati terdapat 104 plastik hitam berisi daun ketum dalam kereta tersebut ,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noh berkata, selain bungkusan berisi daun ketum itu, pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Unser dan motosikal jenis Honda EX5 untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek mendapatkan daun ketum tersebut daripada penduduk tempatan di Padang Sanai untuk dijual di Thailand melalui jalan hutan ke sempadan Thailand,” jelasnya.

Beliau menambah, hasil semakan rekod lampau mendapati kesemua saspek mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah seksyen 30(3) Akta Racun 1952. - UTUSAN ONLINE