Dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang itu, pihak berkuasa berkenaan turut menahan dua beranak masing berumur 53 dan 30 tahun yang menjadikan rumah tersebut sebagai kedai runcit dan didapati menjual barangan terbabit.

Komander Aksem negeri, Deputi Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata, hasil maklumat dan risikan, sepasukan anggota yang diketuai
Inspektor Nik Md Narzi Nik Sukri telah menyerbu rumah tersebut.

Katanya, antara barangan yang dirampas ialah 1,320 karton rokok jenama John dan Surya dianggarkan bernilai RM38,840 termasuk cukai yang disembunyikan suspek di dalam dinding yang dilindungi kabinet kayu di rumah tersebut.

“Kita turut merampas 1,800 botol ubat batuk jenama dynadryl syrup bernilai RM18,000, minuman bertenaga jenama M150, bahan-bahan perencah makanan dan pelbagia jenis sos yang tidak mendapat kelulusan KKM yang semuanya bernilai RM4,258,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Syed Basri, pemilik rumah tersebut akan didakwa mengikut Seksyen 15 Akta Makanan 1983 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM10,000, penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Manakala anak lelaki tersebut pula akan didakwa bagi kesalahan memiliki rokok yang belum lulus kastam mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 manakala bagi kesalahan memiliki ubat batuk pula didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 iaitu memiliki, mengawal dan menjual tanpa lesen.

“Kes masing-masing diserahkan kepada Kastam dan Jabatan Farmasi KKM Perlis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.- UTUSAN ONLINE