NOOR MOHAMMED SHAIK ALAUDDIN menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas di pejabat Aksem Kedah, Bukit Kayu Hitam, semalam.

Ini terbukti dengan rampasan kira-kira RM300,000 barang terlarang itu oleh Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kedah di Napoh dekat sini semalam.

Timbalan Komander Aksem Kedah, Noor Mohammed Shaik Alauddin berkata, mercun dan bunga api yang dipercayai diseludup dari negara jiran itu dirampas selepas menahan sebuah lori untuk pemeriksaan pada pukul 11.30 malam.

Menurutnya, lori tersebut yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan selepas didapati dalam keadaan mencurigakan di hadapan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh.

"Hasil pemeriksaan pegawai dan anggota Aksem Kedah kemudian mendapati lori tersebut penuh dengan muatan mercun dan bunga api yang diisi dalam sejumlah kotak.

"Kotak tersebut yang mengan­dungi mercun dan bunga itu disembunyikan di bahagian belakang lori terbabit dan ditutup dengan kanvas," katanya pada sidang akhbar di pejabat Aksem Kedah di sini hari ini.

Noor Mohammed memberi­ta­hu, pemandu terbabit dikatakan menerima upah RM1,500 untuk membawa barangan yang dimuatkan dalam lori tersebut ke Ipoh, Perak.

Bagaimanapun, katanya, pemandu itu juga mendakwa dia dimaklumkan kotak-kotak yang dibawa itu mengandungi sayur-sayuran sahaja.

"Aksem percaya aktiviti penyeludupan mercun dan bunga api akan semakin berleluasa menje­lang musim perayaan tidak lama lagi.

"Sehubungan itu, pegawai dan anggota Aksem akan meningkatkan kawalan dan pemeriksaan di kawasan sekitar sempadan untuk membendung aktiviti penyeludupan tersebut," katanya.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut dan memindah barang belum lulus Kastam.