Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, kedua-dua treler tersebut ditahan selepas sepasukan pegawai dan anggota Aksem negeri membuat risikan hasil maklumat daripada orang ramai.

Komander Aksem negeri, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, pemandu treler yang masing-masing membawa 34 guni beras itu gagal menunjukkan dokumen permit import yang dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membawa masuk barangan tersebut dari negara jiran.

“Beras hancur yang dianggar bernilai RM200,000 itu diikrar sebagai makanan haiwan. Namun kita percaya, beras berkenaan akan dihantar ke kilang untuk dicampurkan dengan beras tempatan sebelum dijual di pasaran,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Abdul Latif, pihaknya turut menahan dua pemandu treler berusia 20-an dan 40-an bagi membantu siasatan selain kenderaan berat berkenaan yang dianggar bernilai RM200,000.

“Pada masa sama, kita menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pemilik beras hancur yang dirampas dan kilang yang terbabit dalam sindiket berkenaan,” ujarnya.