Dalam serbuan kira-kira pukul 5 pagi itu, Aksem berjaya menahan 20 pati warga Myanmar termasuk seorang bayi berusia empat bulan dalam dua kenderaan jenis Proton Waja dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria.

Komander Aksem Kelantan, Rusli Karim berkata, seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pemandu kereta Proton Waja dipercayai bertindak sebagai ‘tekong darat’ turut dicekup dalam serbuan tersebut.

Menurutnya, satu das tembakan ke arah tayar Proton Waja terpaksa dilepaskan selepas pemandunya bertindak di luar kawalan apabila cuba merempuh anggota Aksem yang mahu menahannya.

“Kesemua pati yang kita tahan itu terdiri daripada 15 lelaki dan empat wanita berusia antara 15 hingga 43 tahun.

“Serbuan ini berjaya dilakukan hasil maklumat disalurkan oleh orang awam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Rusli memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2017 selain Seksyen 186 iaitu menghalang penjawat awam melaksanakan tugas. - UTUSAN ONLINE