Akibat terpedaya dengan helah berkenaan, wanita berusia 53 tahun itu kerugian RM95,668 selepas membuat pembayaran kononnya bagi urusan penghantaran wang tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supe­rintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kes itu bermula pada 11 Februari lalu apabila mangsa yang berada di rumahnya di Triang, Bera menerima e-mel daripada penama ‘Liegh Hester’ yang memberitahu dia ialah seorang tentera di Libya dan mempunyai duit sebanyak USD9 million (RM36.9 juta).

Menerusi e-mel tersebut, katanya, Liegh Hester memaklumkan akan menghantar wang berkenaan kepada mangsa yang diisi dalam sebuah peti.

“Liegh Hester memberitahu kepada mangsa bahawa penghantaran peti tersebut diuruskan oleh sebuah syarikat yang berpengkalan di London.

“Mangsa bersetuju dengan memberikan nama dan alamat penuhnya sebelum berurusan dengan syarikat berkenaan berhubung penghantaran peti berisi dengan wang itu,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Wazir, mangsa kemudian membuat 12 transaksi ke dalam tiga akaun bank atas penama berbeza dengan jumlah kerugian sebanyak RM95, 668.

Katanya, selepas mangsa memasukkan wang itu, dia mendapati tidak boleh membaca e-mel daripada syarikat berkenaan.

“Berikutan itu, suspek membuat laporan polis semalam kerana mendakwa ditipu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE