Woo Yee Ching, 50, berkata, beberapa orang rakannya telah terjerat dengan taktik berkenaan melibatkan kerugian lebih RM1,000 apabila mereka menyangka dia benar-benar memerlukan bantuan tersebut, sekali gus memberikan nombor pin berkenaan 'kepadanya' menerusi aplikasi Messenger setelah membaca mesej yang ditulis dalam bahasa Mandarin.

"Saya mula menyedari Facebook saya telah digodam ketika menghadiri satu makan malam di sebuah hotel pada 10 Mac lalu apabila salah seorang rakan bertanya kenapa saya memintanya nombor telefon walaupun saya duduk semeja dengannya.

"Saya terkejut dan menunjukkan kepadanya bahawa saya tidak menghantar mesej tersebut. Kemudian, saya menyedari tidak boleh lagi mengakses Facebook mahupun Messenger," kata Yee Ching yang turut mengakui dia pernah memberikan nombor telefonnya kepada seorang kenalan apabila diminta berbuat demikian menerusi Messenger sebelum ini.

Sehubungan itu, bagi mengelak lebih banyak salah laku terhadap akaun Facebooknya yang kini tidak boleh diakses serta dipadamkan itu, Yee Ching tampil membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Bharu di sini pada 11 Mac lalu.

Menurut Yee Ching, dia menyedari kebanyakan rakan-rakannya yang tertipu merupakan mereka yang jarang berhubung dengannya, justeru tidak biasa dengan gaya bahasa yang selalu digunakannya dalam mesej.

MOLPoints merupakan sistem pembayaran mikro secara dalam talian bagi membolehkan pembelian permainan dalam talian, produk serta perkhidmatan di lebih 80 negara di seluruh dunia. - UTUSAN ONLINE