Ketua Polis Negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, siasatan polis lebih memberi fokus kepada penderaan yang dilakukan sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak itu.

"Air jampi itu dengan kes tiada kaitan, yang ada kaitan dia pukul anak dia. Sesiapa sahaja boleh mengambil air jampi tersebut dan ini kepercayaan masing-masing.

"Tetapi kalau ada bukti menunjukkan kaitan dengan kes, kita akan ambil keterangan orang yang terlibat. Buat masa ini air jampi dengan ustaz (yang membuat air jampi) tidak ada kaitan dengan kes," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengawas di sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Burhanuddin di sini hari ini.

Khamis lalu, Nur Aina Nabihah yang juga murid Sekolah Kebangsaan Lukut, Port Dickson meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban selepas tidak sedarkan diri di rumahnya, dipercayai akibat didera bapa kandung dan ibu tirinya.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan parah pada organ dalaman seperti buah pinggang putus, hati koyak, lebam pada usus serta tulang rusuk kiri dan kanan patah dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Polis turut merampas beberapa barangan di rumah sewa mereka antaranya bekas berisi air jampi, sebuah bangku kecil plastik dan satu tali pinggang tentera. - UTUSAN ONLINE