Ketua Penolong Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Ali berkata, pihaknya sedang berurusan dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mendapatkan maklumat mengenai kes tersebut.

“Setakat ini, apa yang kita tahu jumlah dadah yang dirampas pihak berkuasa Indonesia daripada suspek hanya untuk kegunaan sendiri.

“Biar pihak berkuasa Indonesia jalankan siasatan dahulu kerana suspek ditahan di sana jadi perlu terima undang-undang negara berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Memetik laporan AFP, seorang rakyat Malaysia, Izham Hakimi Hamdi ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai minggu lalu bersama sebuah beg mengandungi hampir 15 gram marijuana dan 11 pil ekstasi.

Selain Izham Hakimi, turut ditahan secara berasingan atas kesalahan menyeludup dadah dalam tempoh dua minggu itu adalah warga asing dari Jerman, Peru, Britain dan China. - UTUSAN ONLINE