Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia 62 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, Faridatul Farrah Mohd. Shukri mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Suspek yang dipercayai menggunakan gelaran 'Datuk' palsu sebelum ini ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam selepas pihak polis menerima laporan yang mengaitkannya dengan sindiket berkenaan.

Pada 15 November lalu, polis Johor berjaya membongkar sindiket yang menghasut orang ramai menjadi ahli pertubuhan haram sebelum ditawarkan Darjah Kebesaran Negeri yang membawa gelaran 'Datuk' dan 'Datuk Seri' dengan nilai antara RM180,000 hingga RM280,000.

Sindiket itu berjaya dibongkar apabila polis menahan dua lelaki berusia 57 dan 40 tahun di daerah ini pada 30 Oktober lalu.

Susulan kejayaan itu, pada 30 November lalu, kedua-dua lelaki itu yang merupakan ahli perniagaan, Low Leong Huat dan Lim Kuan Hau didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat dan mereka mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan.

Kedua-duanya yang menyamar sebagai 'Datuk' itu didakwa memperdayakan mangsanya untuk menyertai Kelab Darjah Kebesaran Pahang (KDKP) yang sebenarnya tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan mendorong mangsa menyerahkan sejumlah wang tunai.

Terdapat lapan individu ditipu dan diperdayakan dengan dua kes dilakukan secara bersama oleh kedua-dua tertuduh melibatkan wang berjumlah RM105,600.