Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dua suspek terbabit dikesan selepas mereka memecah masuk sebuah salun di kawasan itu pada pukul 11.30 malam 26 Oktober lalu.

Menurutnya, selang beberapa jam kemudian mereka sekali lagi menceroboh syarikat penapis udara dan air di kawasan sama dan melarikan beberapa barangan.

“Hasil soal siasat, polis kemudiannya menahan perancang utama kes itu di sebuah rumah di Ayer Itam awal pagi ini dan berjaya menemukan semula pelbagai barangan dipercayai hasil curi.

“Kesemua barangan ini dijual kepada pembeli tertentu dan setakat ini kita telah menahan dua lelaki dipercayai membeli barangan curi daripada kumpulan ini,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Polis Daerah SPU di sini hari ini.

Tambah Noorzainy, jumlah kerugian bagi kedua-dua kes adalah dianggarkan sebanyak RM50,000 dan barangan yang dicuri berjaya ditemukan semula.

Jelasnya, kesemua suspek kini direman tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE