KHAIRUL ANUAR BAHARUM
KHAIRUL ANUAR BAHARUM

Beliau sebelum itu hadir di Ibu pejabat SPRM selepas diminta berbuat demikian ba­gi membantu siasatan suruhanjaya itu dalam kes melibatkan pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan reman ke atas Ah Chong esok bagi membantu siasatan berhubung kes mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana 2017.

“Pagi tadi Ah Chong datang serah diri di SPRM dan kita menahannya. Siasatan sedang dijalankan ke atasnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ah Chong yang pernah bermain untuk pasukan Selangor dan Negeri Sembilan, tiba di Ibu pejabat SPRM kira-kira pukul 10.45 pagi bagi memberi keterangan berhubung kes mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana itu.

Bekas pemain kebangsaan yang memakai baju lengan pan­jang putih dan berseluar jean itu hadir dengan ditemani peguamnya.

Rabu lalu, tiga pemain MIFA­ yang ditahan reman selama tujuh hari sejak 6 April berhubung kes yang sama dan dibebaskan dengan jaminan SPRM oleh Mahkamah Majistret.

Walau bagaimanapun, seorang lagi lelaki yang merupakan bookie bagi kes tersebut yang ditahan reman pada 7 April lalu disambung reman sehingga 17 April ini.

Siasatan berhubung kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 17 Kanun Tatacara Jenayah untuk disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).