Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung kes tersebut.

"Apa yang boleh saya katakan adalah terlalu awal untuk mengaitkan kejadian dengan kes culik.

"Kita percaya dua kanak-kanak terbabit dilarikan individu yang dikenali,” katanya ketika dihubungi, di sini malam tadi.

Terdahulu, berita mengenai kehilangan kanak-kanak tersebut tular di laman Facebook milik seorang wanita dipercayai ibu saudara mereka.

Menurut wanita tersebut, kehilangan Raheel Khan, 6, dan Aleya Reyhana, 4, disedari ketika adiknya hadir untuk mengambil mereka pulang.

"Dia dimaklumkan oleh guru mereka ada seorang wanita datang mengambil adik-beradik berkenaan sekitar pukul 9 pagi kononnya untuk membawa mereka menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Wanita itu memaklumkan bapa mereka tahu mengenai pemeriksaan kesihatan itu dan turut berjanji akan menghantar mereka pulang ke sekolah sebaik sahaja selesai pemeriksaan kesihatan dalam masa satu jam," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, guru tersebut turut memaklumkan wanita terbabit datang bersama dua lagi lelaki yang menunggu di dalam sebuah kereta pelbagai guna (MPV) berwarna putih.

Ibu saudara adik-beradik itu juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan menghubungi adiknya di talian 014-3233503. - UTUSAN ONLINE