DUA beradik ini cedera di muka, kaki dan tangan apabila terjatuh daripada motosikal dinaiki setelah diragut seorang lelaki berhampiran sebuah pasar raya di Gurun, Kedah, semalam. IHSAN MEDIA SOSIAL

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, mangsa yang berumur 26 dan 24 tahun itu yang juga menunggang motosikal itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka selepas pulang dari pasar malam di Guar Chempedak, Yan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Saifi Abdul Hamid berkata, suspek yang menunggang motosikal Yamaha jenis 125Z warna hitam telah datang dari arah belakang sebelum meragut beg yang terdapat dalam raga motosikal mangsa.

Menurutnya, seorang lelaki yang memakai topi keledar de­ngan penutup muka telah menarik beg milik mangsa berumur 26 tahun yang diletakkan dalam raga motosikal selepas mereka melepasi jejambat berhampiran lokasi kejadian.

“Tindakan itu menyebabkan mangsa yang berumur 24 tahun terkejut sehingga gagal mengawal motosikal sebelum terbabas di tepi jalan.

“Lelaki tersebut kemudian terus memecut motosikalnya menggunakan jalan dalam de­ngan melarikan bersama beg berisi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank dan sebuah telefon bimbit jenis Lenovo,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Saifi memberitahu, kejadian itu menyebabkan mangsa yang penunggang motosikal mengalami luka pada siku kanan serta kedua-dua belah lutut manakala kakaknya cedera pada bahagian kening dan bawah mata.

“Siasatan awal mendapati suspek melakukan jenayah tersebut secara bersendirian dan tidak menggunakan senjata. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” ujarnya.