Hal ini kerana, rata-rata rakyat merasakan hukuman tersebut masih lagi relevan khusus melibatkan jenayah pembunuhan, selain tiga kesalahan berat di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu pengedaran dadah, menyeludup senjata api dan menderhaka kepada raja.

Pakar undang-undang keluarga dan kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Noor Aziah Mohd. Awal berkata, kes pembunuhan bayi terutamanya wajar dikecualikan daripada dimansuhkan hukuman mati ke­rana hanya manusia tidak berhati perut sahaja sanggup memperlakukan perbuatan di luar akal dan kelaziman manusia seperti itu.

“Kerajaan tolong lihat kembali keputusan untuk memansuhkan hukuman mati. Adakah orang seperti ini (pembunuh bayi) hanya layak dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan bagaimana pula dengan pe­rasaan keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang.

“Hukuman yang setimpal adalah hukuman gantung. Saya yakin mangsa pasti memberi alasan dia tidak sedar atau di bawah pengaruh dadah dan mahu hukuman diringankan. Saya sangat marah dan geram dengan perkara ini, mohon kerajaan bertegas dalam hal ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang bayi, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal meninggal dunia Jumaat lalu selepas dua hari bertarung nyawa ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serdang sejak Rabu lalu, akibat didera oleh suami kepada pengasuhnya sendiri.

Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow mahu kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan pemansuhan hukuman mati dengan mendapatkan pandangan daripada pakar perundangan, hakim, peguam serta ahli akademik sebelum memuktamadkannya.

“Pihak menyokong pemansuhan hukuman mati berpendapat hukuman itu tidak menghentikan kadar jenayah, hidup mati seseorang tidak harus diberikan kepada kerajaan.

“Bagi yang tidak menyokong, hukuman mati dilihat penting dalam mengawal kadar jenayah dan pematuhan terhadap undang-undang,” katanya.