Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang me­ngesahkan perkara tersebut bagaimanapun tidak mendedahkan identiti mereka yang terlibat bagi melancarkan pro­ses siasatan.

“Memang saya tidak menafikan terdapat sasaran individu-individu baharu termasuk orang Korea Utara yang terlibat dalam pembunuhan ini dan kita akan menggunakan saluran undang-undang untuk mendapatkan mereka.

“Namun, saya tidak boleh mendedahkan siapa mereka, tetapi kita percaya ada di antara mereka itu merupakan orang penting," katanya selepas meras­mikan Program Kembara Sang Saka Biru sempena Hari Polis Ke-210 dan prapelancaran Kempen Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Zulkifli Abdullah dan Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Jalil Hassan.

Pada Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan identiti mayat Jong-nam dikenal pasti menerusi sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada anak mendiang sendiri.

Menurut beliau, proses bagi mengenal pasti mayat individu yang turut mempunyai identiti sebagai Kim Chol itu, mengikut setiap prosedur forensik.

Sementara itu, Khalid memberitahu, pihak polis masih menunggu bantuan daripada Korea Utara untuk menahan empat suspek lelaki yang dikehendaki iaitu Rhi Ji-hyon, 33; Hong Song-hac, 34; O Jong-gil, 55; dan Ri Jae-nam, 57, yang kini dipercayai berada di Pyongyang.

“Sekiranya pihak Korea Utara tidak mahu membantu, kita akan tengok apa undang-undang lain yang boleh digunakan untuk menangkap keempat-empat suspek itu.

“Ini adalah kes jenayah, maka janganlah kita campurkan dengan hal-hal politik kerana kita menyiasat kes pembunuhan yang berlaku di negara ini. Menjadi tanggungjawab kita menyiasat dengan telus dan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, berhubung program yang dianjurkan hari ini, Khalid menjelaskan, TAWP yang akan mengumpul dana kebajikan untuk bekas-bekas anggota dan pesara polis serta ahli keluarga mereka, akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Lumpur pada 25 Mac ini.