Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar walau bagaimanapun berkata, beliau menyerahkan kuasa untuk menyiasat perkara itu sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bersedia be­kerjasama pada bila-bila masa.

“Saya tidak boleh menyatakan berapa orang lagi yang terlibat tetapi selain lima orang yang ditahan SPRM, kita tahu memang ada lagi yang terlibat.

“Saya ingin memberi amaran kepada mereka yang terlibat bahawa mereka tidak akan terlepas dan Maritim Malaysia akan menyokong dan membantu SPRM menjalankan siasatan demi memastikan perairan negara selamat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan kunjungan hormat ke Ibu pejabat Utusan Malaysia (M) di sini hari ini.

Ketibaan delegasi agensi itu seramai 20 orang pada pukul 2.30 petang disambut oleh Ketua Pe­ngarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Timbalannya, Datuk Othman Mohamad.

Yang turut hadir, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Hassan Mohd. Noor; Pe­ngarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah dan Pengurus Jabatan Pengarang; Ainol Amriz Ismail.

Tambah Zulkifli, beliau juga ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk membuat kajian untuk meminda akta yang lebih mantap bagi memastikan perairan negara dapat dikawal dengan lebih berkesan pada masa hadapan.

Katanya, pencerobohan nelayan asing itu bukan sahaja mengaut hasil perikanan negara malah turut merosakkan kekayaan ekosistem lautan di Malaysia.

“Akta yang digunakan sekarang agak longgar tidak seperti Indonesia yang lebih tegas menyebabkan nelayan asing dari Vietnam tertumpu pada perairan Malaysia berbanding Indonesia.

“Selain itu, Maritim Malaysia juga memerlukan aset yang lebih canggih seperti kapal induk untuk membantu agensi kita untuk melakukan pemantauan dan penangkapan nelayan asing yang menceroboh dengan lebih berkesan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata, pihaknya sedia untuk bekerjasama dengan Kumpulan Utusan dalam menangani persepsi masyarakat terhadap agensi itu.

“Di zaman digital ini kita mempunyai banyak cabaran dan sebagai media arus perdana yang berpengaruh, Kumpulan Utusan boleh membantu kita salah satunya dalam menjaga imej agensi,” katanya.