Turut dijangka dihadapkan ke mahkamah sama adalah seorang kontraktor yang pernah ditahan berhubung kes berkenaan sebelum ini.

Wakil media dan beberapa pegawai SPRM memenuhi pekarangan kompleks mahkamah di sini sejak pukul 7 pagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau berusia 51 tahun itu sebelum ini dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM200,000 pada 16 Mac lalu setelah direman selama seminggu pada 10 Mac lalu.

Abd. Latif, kini bercuti daripada tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri sejak 1 Mac lalu.

Pada 9 Mac lalu, Abd. Latif ditahan di Pejabat SPRM negeri semasa hadir memberi keterangan berkaitan skandal rasuah dan penyelewengan hartanah ekoran penahanan tujuh individu termasuk anak dan pegawai khas beliau, namun kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Sejurus selepas penahanan tersebut, SPRM turut menggeledah rumah beliau dan merampas wang tunai berjumlah RM41,000, sebanyak 150 beg tangan mewah pelbagai jenama serta sebuah kenderaan Toyota Vellfire.

Abd. Latif disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. - UTUSAN ONLINE