Pengarahnya, Azizah Ahmad berkata, adik-beradik berusia 17 dan 21 tahun itu bersama rakan mereka berusia 22 tahun serta yang lain ditahan dalam operasi 'Perangi Dadah Habis-Habisan (PDH 2.0)’.

“Hasil ujian awal saringan air kencing mendapati empat daripada lelaki yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine dan seorang masing-masing positif dadah jenis ganja dan dadah jenis opiat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azizah memberitahu, dua beradik berkenaan tinggal di kediaman tersebut sejak ibu bapa mereka bercerai.

Katanya, ibu kedua-dua beradik itu bekerja sebagai pembantu kafe di Langkawi, Kedah untuk mencari nafkah dan hanya pulang ke rumah pada setiap hujung minggu.

Beliau berkata, ibu bapa dan penjaga seharusnya memantau aktiviti luar rumah anak-anak dan paling penting perlu mengetahui dengan siapa mereka bergaul.

“Pada mereka yang telah menjalani rawatan pemulihan, ubah­lah tata cara kehidupan mereka yang dahulu agar tidak kembali terjebak dalam penagihan dadah,” katanya.

Ujarnya, AADK menekankan ‘Kempen Pencegahan Dadah Bermula Dari Rumah’ supaya kesedaran komuniti setempat memainkan peranan mencegah aktiviti tidak sihat berlaku di kawasan masing-masing.