Itu antara lokasi serbuan penagihan dadah yang digempur oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Sarang di daerah Kinta melibatkan penyertaan 42 penguat kuasa termasuk anggota STRIKE AADK dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, dalam tempoh 24 jam bermula pukul 5.30 pagi semalam.

Dalam serbuan di pusat karaoke berkenaan pada pukul 3 pagi hari ini, sebanyak 22 individu terdiri daripada 12 lelaki dan 10 GRO berusia antara antara 20 ke 30-an itu ditahan kerana didapati positif dadah jenis syabu.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK, Zolkifli Mohd Dom berkata, selain syabu, pengunjung juga ditawarkan dadah jenis ecstacy, eramin 5 dan ketamin oleh pelayan bar pada harga RM50.

Beliau berkata, pada awalnya, pengusaha premis pusat hiburan tersebut tidak memberikan kerjasama dengan mengunci setiap laluan masuk sehingga memaksa pihaknya merampas alat kawalan jauh yang dikunci secara automatik.

"Daripada 22 individu yang ditahan itu, 17 orang terdiri daripada bangsa Cina dan lima lagi Melayu. Ada yang mengaku sedar dan tidak dengan bancuhan air dadah tersebut kerana ia mirip penggunaan paket minuman 3 dalam 1.

"Namun, inilah yang menular di pusat-pusat hiburan seluruh negara," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini dan turut dihadiri oleh Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Perak, Azman Hashim. - UTUSAN ONLINE