Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Abd Aziz Ismail berkata, bungkusan yang mengandungi daun ketum itu dijumpai pasukan yang diketuai oleh Sarjan Fred Wong bersama tiga anggota tentera ketika melakukan rondaan pada kira-kira pukul 12.45 petang hari ini.

“Anggota tentera yang melakukan rondaan dengan tidak sengaja menjumpai bungkusan guni dan plastik hitam yang diletakkan dalam semak samun.

“Semasa pemeriksaan dibuat, anggota tersebut mendapati terdapat daun ketum yang sudah siap diikat dan dibalut dengan plastik lutsinar seberat 95 kg dalam bungkusan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, modus operandi yang digunakan penyeludup adalah dengan menyembunyikan bungkusan mengandungi daun ketum dalam semak.

“Bungkusan yang disembunyikan tersebut akan diambil oleh pihak ketiga dan diseludup masuk ke negara jiran oleh pihak ketiga,” jelasnya.

Abdul Aziz memberitahu, tiada tangkapan dilakukan dan barangan rampasan berkenaan diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE