Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen negeri, Masri Adul berkata, operasi selama dua jam yang bermula pada pukul 1 pagi itu melibatkan seramai 70 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen negeri.

Katanya, kesemua GRO yang ditahan merupakan warga asing dan berusia antara 20 hingga 45 tahun.

"Mereka yang ditahan membabitkan seramai 85 warga Thailand, tiga dari Laos serta masing-masing seorang dari Vietnam dan Filipina.

"Ketika serbuan dibuat, mereka dipercayai sedang mengadakan pesta menari di atas pentas dengan mengalungkan bunga kepada GRO ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.

Tambah Masri, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan seramai lima lelaki membabitkan tiga warga Thailand manakala masing-masing seorang warga Filipina dan Singapura.

Kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963. - UTUSAN ONLINE