Penahanan membabitkan dua Ketua Polis Daerah (OCPD) dari Melaka Tengah dan Jasin masing-masing berpangkat Asisten Komisioner dan Deputi Superintenden, dua pegawai berpangkat Asisten Superintenden dan dua Inspektor selain tiga orang awam itu turut membawa kepada rampasan wang tunai bernilai RM186,000 yang ditemukan di rumah milik beberapa suspek terbabit.

Difahamkan, lebih ramai anggota dan pegawai pasukan kese­lamatan itu bakal ditahan dalam tempoh terdekat kerana disyaki terlibat dengan aktiviti berkenaan.

Menurut sumber, daripada jumlah wang tunai terbabit, sebanyak RM79,000 telah ditemukan di rumah milik Ketua Polis Daerah Melaka Tengah.

Ujarnya, siasatan awal mendapati kesemua wang tersebut dipercayai diperoleh daripada tauke-tauke judi haram yang beroperasi di sekitar Melaka, sejak awal tahun ini.

“Pegawai polis terbabit dikatakan meminta wang rasuah daripada pengusaha-pengusaha pusat judi dan rumah urut haram di sekitar Melaka malah turut memaksa pengusaha berkenaan membayar wang perlindungan kepada mereka.

“Tiga pegawai polis termasuk dua ketua polis daerah itu berperanan sebagai dalang utama dalam melancarkan dan melin­dungi kegiatan haram pengusaha-pengusaha terbabit manakala tiga orang awam yang ditahan pula bertindak sebagai orang tengah bagi melicinkan proses pengutipan wang rasuah,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, dua Ketua Polis Daerah antara sembilan individu berusia antara 31 hingga 54 tahun direman bagi membantu siasatan kes mengutip wang rasuah daripada pengusaha-pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di sekitar Melaka.

Perintah reman bermula hari ini sehingga 22 Mei itu dikeluarkan oleh Majistret Muhamad Safuan Azhar di Mahkamah Majistret Putrajaya, dekat sini bagi membolehkan siasatan dijalankan SPRM.

Tambah sumber, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut dan enggan mengulas lanjut berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan.