Perbuatan itu tidak diterima oleh ibu bayi tersebut, Noraihan Ab. Aziz, 22, yang tidak pernah menjangka tragedi hitam tersebut akan menimpa keluarganya dan meninggalkan kesan amat pedih dalam kehidupan mereka.

“Hati saya sakit sangat, apabila melihat keadaan Zara yang menyayat hati, saya serahkan kepada pihak polis untuk me­lakukan penyiasatan dan mengenakan hukuman setimpal pada pesalah.

“Selagi kes Zara tidak selesai, selagi pelaku tidak dihukum, saya tidak akan berasa tenang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Nur Muazara dimasukkan ke hospital berkenaan sejak Rabu lalu dan berada dalam keadaan kritikal sebelum menghembuskan nafas terakhir, Jumaat lalu.

Noraihan dan suaminya, Muhammad Zainal Abduk Rahaman, 27, serta anak sulung mereka, Muhamad Alif Zamani, 4, kini berada di kampung halaman di Rantau Panjang, Kelantan untuk urusan pengebumian puteri kecil mereka, semalam.

Noraihan yang bertugas sebagai operator kilang di Bandar Baru Bangi berkata, biarpun pasrah dan reda dengan insiden menimpa anak keduanya itu dia pada awalnya amat sukar untuk menerima kenyataan kematian anak sebegitu rupa.

Kesedihan ibu bayi tersebut turut berkongsi dalam laman Facebook miliknya dengan memuat naik status Damailah kau di sana sayang...Tunggu ibu di syurga...Ibu halalkan susu yg mengalir di dalam badan anak ibu.. anak syurga ibu #nurmuazaraulfa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, suami pengasuh yang positif methamphetamine berusia 36 tahun dan isterinya, 28 tahun dibawa ke Mahkamah Kajang, semalam dan direman selama lima hari sehingga Selasa ini.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah impak tumpul pada kepala iaitu tempurung kepalanya pecah dan terdapat kesan lebam pada bahagian atas kepala kiri dan kanan.

“Selain itu, terdapat juga kesan penderaan seksual ke atas bayi dan kematian mangsa dipercayai mempunyai unsur-unsur perlakuan jenayah,” katanya.