Lelaki berusia lingkunan 60-an itu dikatakan amat berpengaruh dengan mampu mengawal, merancang dan mengarahkan aktiviti-aktiviti jenayah termasuk penyeludupan dan pengedaran dadah, senjata api, rokok serta pendatang asing tanpa izin (PATI) mengikut kehendaknya di rangkaian kawasan berkenaan.

Sumber itu mendakwa, lelaki tempatan tersebut mendapat jolokan ‘Robin Hood’ berikutan tindakannya yang menderma sebahagian daripada hasil kegiatan jenayah kumpulannya kepada golongan miskin sehingga dianggap seperti ‘wakil rakyat’ di situ.

“Dia dipercayai memutihkan hasil kegiatan haram menerusi perusahaan ladang kelapa sawit dan ternakan ikan dalam sangkar sebelum menggunakan sebahagian daripadanya untuk menderma bagi tujuan melindungi perbuatannya,” dakwanya kepada Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan kawasan di sekitar Kuala Sepetang antara lain didakwa menjadi lubuk jenayah yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan berpengaruh dan ‘kebal’ daripada tindakan penguat kuasa.

Berikutan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengakui kebenaran pendedahan Utusan Malaysia tersebut telah mengarahkan tiga pasukan polis elit iaitu Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (Sting), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dan pasukan taktikal jabatan siasatan jenayah untuk mengepalai operasi gempur berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, banyak penempatan nelayan di pantai barat terbabit dengan pelbagai jenayah dan kewujudan kumpulan samseng di kawasan penempatan nelayan bukan sahaja berlaku di Kuala Sepetang malahan di Pangkor, Hutan Melintang serta di beberapa perkampungan nelayan lain di sebelah pantai barat.

Sumber itu mendakwa, lelaki terbabit dipercayai mempunyai 200 hingga 300 orang pengawal dan pekerja menyatakan sumpah setia kepadanya serta sanggup berkorban nyawa jika berhadapan sebarang halangan yang boleh menganggu aktiviti haram mereka.

Dakwanya, bagi melicinkan aktiviti jenayah dilakukan kumpulannya terutama penyeludupan, lelaki berkenaan mempunyai pelbagai aset yang sukar ditandingi atau dipintas oleh agensi penguat kuasa seperti bot dengan kelajuan 500 kuasa kuda ke atas.

“Bayangkan betapa berpengaruh dan berkuasanya lelaki ini apabila jumlah aset yang ada padanya boleh menampung kehidupan tiga hingga empat generasinya,” dakwa sumber itu.

Sumber itu mendakwa, aktiviti haram ‘Robin Hood’ diwariskan secara turun temurun dan kini dikatakan dalam peralihan kuasa kepada anak buahnya yang juga merupakan orang kanan kumpulan berkenaan disebabkan faktor usia.