Suspek yang ‘bertimbang ra­sa’ itu turut meninggalkan dua keping nota permohonan maaf serta lokasi motosikal jenis Yamaha R6 yang dipinjamnya itu di tingkap kereta milik mang­sa yang turut dipecahkannya.

Mangsa, Mohd. Khairul Anuar Mohd. Jamil, 32, berkata, kejadian itu disedari kira-kira pukul 8 pagi ketika dia mahu pergi ke tempat kerjanya.

Menurutnya, motosikal itu mungkin dilarikan suspek setelah menemukan kunci pendua di dalam kereta Ford Fiesta yang dipecah masuk di kediamannya di Flora Damansara, Petaling Jaya di sini.

Menurut Mohd. Khairul, nota itu bertulis: "Saya nak minta maaf sebab dah curi motosikal abang. Saya tak ada niat nak curi, tapi saya nak ambil pe­ngalaman naik motosikal besar. Saya betul-betul minta maaf."

“Di bahagian belakang nota itu tertulis motosikal saya berada di kawasan letak motosikal berhampiran sebuah kondominium di Damansara Perdana.

“Saya ingat ada orang mahu mempermainkan saya, namun bila pergi ke lokasi itu, memang ada motosikal saya di situ dan terus memaklumkan kepada po­lis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd. Khairul berkata, dia sudah memaafkan perbuatan penjenayah berkenaan yang turut menyebabkan barang berharga serta cermin tingkap keretanya pecah, namun menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan undang-undang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian semalam.

Ujarnya, motosikal yang dilaporkan hilang sudah ditemukan dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek berkenaan.