MUSTAFAR ALI

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, perkara itu biasa berlaku apabila mereka menyalahgunakan pas atau permit dikeluarkan oleh Imigresen untuk tujuan me­lancong, bekerja atau belajar.

Menurutnya, warga asing yang masuk untuk melancong atau belajar sebaliknya bekerja secara automatik dianggap sebagai warga asing tanpa izin disebabkan melanggar permit dikeluarkan.

“Ada juga kes warga asing masuk untuk bekerja tetapi lari daripada majikan asal untuk bekerja dengan majikan lain menyebabkan mereka juga dianggap sebagai PATI, begitu juga dengan majikan ‘menjual’ pekerja kepada majikan lain.

“Sebab itu kita cakap ramai masuk ‘hari ini sah, esok ha­ram’. Apapun pihak kami tidak sesekali berkompromi dengan penyalahgunaan pas lawatan mahupun permit de­ngan mengambil tindakan tegas bukan sahaja terhadap warga asing tersebut malah majikan yang menggaji pekerja asing,” tegasnya.

Sepanjang tahun ini, sebanyak 9,996 operasi dijalankan pihak Imigresen dengan memeriksa seramai 126,366 warga asing di seluruh negara dan daripada operasi itu, seramai 31,119 PATI ditahan dan mengambil tindakan terhadap 945 majikan.

Menurutnya, permit kerja dikeluarkan mempunyai kadar tempoh masa iaitu maksimum 10 tahun untuk seseorang pekerja boleh bekerja di negara ini selagi tidak melanggar sebarang peraturan.

Namun, beliau juga tidak menafikan ada antara mereka tinggal lebih masa di­sebabkan pelbagai perkara dan ada juga sepatutnya pulang tetapi lari daripada pihak berkuasa.

Katanya, dalam Ops Mega 3.0 yang bermula 1 Jun lalu hingga hari ini, seramai 10,468 PATI dan sebanyak 316 majikan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan menggaji pekerja asing.

“Imigresen akan terus memburu PATI di seluruh negara bagi memastikan mereka yang berada di negara ini memiliki dokumen sah sama ada untuk bekerja, belajar, melancong ataupun tujuan lain,” kata­nya.