Walaupun telah banyak gesaan dibuat termasuk menulis surat kepada Menteri Besar, para menteri termasuk berjumpa secara peribadi dengan Perdana Menteri berhubung perkara tersebut masih tiada tindakan agresif diambil bagi memperbetulkan keadaan.

Presiden Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil menegaskan, keadaan tersebut membuatkan mereka kecewa kerana aktiviti pembalakan kini boleh diklasifikasikan sebagai dijalankan secara rakus.

“Apa yang boleh saya katakan gejala rasuah ini memang berlaku dan bukan perkara baharu, malah sudah berlaku bertahun-tahun.

“Aktiviti pembalakan ini begitu digemari kerana merupakan jalan mudah bagi mendapatkan wang, sebab itu negeri-negeri enggan menghentikan pembalakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan khas Mingguan Malaysia hari ini bahawa wujud ‘elaun pacat’ iaitu sejumlah wang yang ditawarkan syarikat pembalak kepada segelintir anggota penguat kuasa sebagai habuan kerana meninjau untuk mereka kawasan berpotensi bagi menjalankan kegiatan pem­balakan.

Shariffa Sabrina berkata, jika tidak dibendung segera dibimbangi keluasan hutan simpan negara bakal menyusut kepada 15 peratus dalam tempoh dua tahun atau lebih cepat daripada itu.

Jelasnya, ketika ini hutan simpan yang dimiliki negara hanya berkeluasan 18 peratus daripada keseluruhan muka bumi Malaysia berbanding 43 peratus yang didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

“Angka 43 peratus itu betul kerana turut dicampur de­ngan tanaman getah dan kelapa sawit.

“Pembalakan mengakibatkan kawasan tadahan air semakin berkurang, selain memusnahkan banyak anak sungai,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau men­de­sak kerajaan mencontohi kerajaan Thailand yang mengharamkan aktiviti pembalakan sejak tahun 1980-an.