Jabatan Imigresen negeri dalam kenyataan memberitahu, serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 3.20 petang itu diketuai oleh Timbalan Penolong Penguasa Kanannya, iaitu Mehuan Runies dan dibantu oleh Penolong Penguasa, Rosliah Kassim serta Timbalan Penolong Penguasa Shahrul Rizal.

Katanya, operasi tersebut dijalankan secara bersepadu oleh 74 pegawai dan anggota dari Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching  bersama Unit Penguatkuasa Pejabat Imigresen Sri Aman, Sarikei, Sibu dan Bintulu.

"Dalam operasi itu, seramai 520 pekerja membabitkan pelbagai warganegara telah diperiksa di premis tersebut.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 82 pekerja warga asing telah melakukan pelbagai kesalahan seperti di bawah Seksyen 6(1)( c ) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tidak memiliki pas sah memasuki Malaysia," kata kenyataan itu di sini hari ini.

Selain itu , katanya, terdapat juga pekerja warga asing ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1966 iaitu menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155) kerana tinggal melebihi tempoh di negara ini walaupun pas perjalanan mereka sudah tamat.

Kata kenyataan itu, seorang saksi  di tempat kejadian telah diberikan notis saman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Tambahnya, kesemua PATI dihantar dibawa  ke Depot Imigresen Bekenu di Miri untuk siasatan lanjut.-UTUSAN OLINE