Operasi bermula pukul 11 malam hingga 4 pagi yang dijalankan oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur itu dibuat di tiga lokasi iaitu Jalan Pahang, Jalan Raja Laut dan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke)

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kesemua suspek berusia 17 hingga 27 tahun itu ditahan kerana tiada lesen menunggang yang sah, menggunakan nombor pendaftaran palsu serta melakukan aksi berbahaya.

“Dalam Op Motosikal, kita telah menahan seorang warga Bangladesh manakala tujuh termasuk seorang pelajar ditahan ketika Op Samseng Jalanan.

“Kesemua motosikal suspek disita dan mereka disiasat di bawah Seksyen 108 dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Zulkefly, dalam kedua-dua operasi itu, sebanyak 414 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya.- UTUSAN ONLINE