Salah seorang lelaki yang ditahan merupakan warga Indonesia manakala selebihnya warga tempatan berusia antara 41 hingga 68 tahun.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Datuk Rahimin Bani berkata, kesemua yang dicekup dalam operasi selama tiga jam berakhir pukul 2 petang itu dipercayai pelanggan tetap kedai-kedai nombor ekor terbabit.

Menurutnya, JAIM melaksanakan operasi membanteras kegiatan berkenaan selepas menerima aduan daripada orang ramai mengenai tindakan segelintir umat Islam yang dilihat sering membeli nombor ekor.

"Dalam serbuan itu, lapan individu berjaya dicekup ketika sedang leka membeli nombor dengan dua daripada mereka adalah warga emas masing-masing berumur 60 dan 68 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Antara lokasi terlibat dalam Op Ekor itu termasuk Taman Cheng Baru, Taman Cheng Permai, Taman Teknologi Cheng, Taman Dato Tamby Chik, Taman Merdeka, Bukit Baru, Taman Cergas dan Taman Tunggal.

Tambah Rahimin, kesemua mereka diberikan notis hadir ke pejabat JAIM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 81 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana berjudi. - UTUSAN ONLINE