Kesemua mereka ditahan dalam operasi dijalankan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 bersama Jabatan Tanah dan Survei kira-kira pukul 11.13 pagi.

Menurut Komander PPM Wilayah 5, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman, empat anggota dari Zon Sarikei dan lima Pegawai Penguat Kuasa Tanah Survei terlibat dalam operasi tersebut.

"Operasi menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu telah memeriksa kawasan pengorekan tanah di kawasan Sungai Emperan yang didapati dijalankan tanpa kebenaran.

"Hasil pemeriksaan mendapati, lapan orang bersama dua jentera, enam kenderaan berat sedang memindah dan mengorek tanah tanpa permit sah yang menyalahi Kanun Jabatan Tanah dan Survei," katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini petang ini.

Tambahnya, kesemua pekerja itu ditahan dan laporan kes berkenaa dibuat di Balai Polis Bintangor untuk siasatan lanjut oleh pihak Jabatan Tanah dan Survei Sarikei. - UTUSAN ONLINE