Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Lim Zhi Hao, 23, Ko Boon Hao, 20, Lim Chim Hoang, 18, Wong Jiunn Woei, 18, serta empat tertuduh juvenil berusia antara 15 hingga 17 tahun selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Azureen Sahira Saufee Afandi.

Mengikut pertuduhan, ke-semua mereka didakwa terlibat dalam ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan membunuh seorang lelaki, Chia Min Yong, 21, di SJKC Kuo Kuang 1, TUTA pada pukul 12.30 tengah hari, 11 November lalu.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 302 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Di mahkamah sama, Chim Hoang turut didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Heng Wei Lun, 15, dengan menggunakan sebilah pisau pada masa, tarikh dan tempat sama.

Bagi pertuduhan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Jalil Salam Muhamad mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, enam remaja termasuk empat juvenil yang berusia 14 dan 15 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyertai rusuhan dan memiliki senjata.

Ooi Boon Jet dan Tay Boon Long masing-masing berusia 18 tahun serta empat juvenil tersebut didakwa menyertai rusuhan dan memiliki benda yang boleh dijadikan senjata yang memudaratkan untuk menyerang pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Noor Aisyah Ahmad membenarkan ikat jamin RM2,000 masing-masing ke atas Boon Jet dan Boon Long manakala RM1,500 ke atas empat tertuduh juvenil dengan seorang penjamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syafiq Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 19 Disember ini untuk sebutan kes.

Akhbar ini pada 12 November lalu melaporkan seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kedua-duanya ditikam menggunakan pisau oleh sekumpulan lelaki dipercayai kumpulan kongsi gelap, semasa mangsa menghadiri program jualan amal di SJKC Kuo Kuong 1, Skudai.