Ketua Polis daerah, Superintenden Ng Kong Soon berkata, kesemua suspek diberkas di lapan lokasi berlainan di Gopeng dan Simpang Pulai dekat sini pada 6 September lalu.

Menurutnya, suspek lelaki berusia antara 14 hingga 22 tahun manakala seorang remaja perempuan berusia 19 tahun itu dipercayai terlibat dalam lima kes termasuk tiga cubaan memecah masuk kedai telefon bimbit di sekitar Gopeng.

“Sewaktu serbuan, polis me­rampas tujuh unit telefon pintar pelbagai jenama, sebuah tablet, sebuah pengecas telefon mudah alih, pemotong besi, pakaian dan sebuah kereta dipercayai digunakan sewaktu melakukan jenayah.

“Nilai rampasan dianggarkan RM4,000 dan siasatan mendapati kumpulan ini telah menjual tiga unit telefon pintar yang dicuri kepada beberapa orang pembeli baru-baru ini,” kata­nya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini hari ini.

Menurut Kong Soon, modus operandi kumpulan berkenaan ialah memecah masuk kedai pada pukul 2 pagi dengan memecahkan cermin dan memotong rantai besi sebelum me­larikan telefon pintar di dalam premis.

Katanya, siasatan juga mendapati kumpulan tersebut dike­tuai oleh remaja berusia 17 tahun dan aktif melakukan kegiatan pecah kedai di sekitar Ipoh dan Kampar sejak sebulan lalu.

“Dua yang ditahan masih bersekolah manakala enam lagi tidak bekerja. Selain itu, tiga daripada lapan suspek mempunyai rekod jenayah lampau kes jenayah dan dadah.

“Kesemua suspek ditahan reman selama seminggu sehingga semalam dan mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Kampar hari ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Sek­syen 457 Kanun Keseksaan ke­rana pecah rumah dan mencuri yang membawa hukuman penjara tidak kurang sehingga lima tahun dan denda.