Dalam operasi melibatkan kawasan Ketereh dan Kok Lanas itu, sebanyak 218 motosikal turut disita atas pelbagai kesalahan

antaranya diubah suai tanpa mengikut peraturan yang ditetapkan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Supritenden Markandan Subramaniam berkata, operasi besar-besaran itu membabitkan bahagian trafik, jenayah dan narkotik yang akan dilakukan secara berterusan.

Menurutnya, daripada jumlah saman yang dikeluarkan itu, sebanyak 297 kes melibatkan kesalahan tidak memakai topi keledar, 197 kes cukai jalan dan insurans yang telah tamat tempoh serta 160 kes tiada lesen memandu.

“Operasi kali ini lebih kepada penyamaran yang melibatkan seramai 30 hingga 40 anggota yang bertugas menahan motosikal yang tidak patuh kepada undang-undang.

“Tujuan operasi ini dijalankan bukan semata-mata untuk mengambil tindakan tetapi ia lebih kepada untuk memberi kesedaran. Kita lihat kawasan ini seperti pekan koboi dan seolah-olah negara ini tidak mempunyai undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi tersebut malam tadi.

Dalam pada itu, Markandan berkata, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 4,731 saman yang melibatkan pelajar sekolah dalam tempoh Januari sehingga Julai.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,165 kes adalah melibatkan kesalahan tidak memakai topi keledar dan 1,852 kes adalah kesalahan tidak memiliki lesen memandu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 6,610 kes kemalangan dilaporkan tahun ini berbanding 6,285 kes tahun lalu dengan kes kemalangan maut mencatat 244 kes tahun ini berbanding 245 kes tahun lalu.

“Daripada jumlah kematian itu, 30 peratus adalah melibatkan mangsa yang tidak memiliki lesen,” katanya. - UTUSAN ONLINE