Menerusi Ops Ikrar yang dijalankan oleh Bahagian Penguat Kuasa Imigresen negeri  bermula pukul 9 pagi itu, operasi tertumpu di kawasan parkir bas dan sekitar bangunan Penang Sentral bertujuan memburu pendatang asing tanpa izin (PATI).

Malah, disebabkan terkejut dengan kehadiran pegawai dan anggota ketika bangunan itu dipenuhi orang awam, terdapat PATI yang cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

Menurut Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Izham Idris, dalam operasi itu, seramai 976 warga asing diperiksa dengan 70 daripadanya ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah dan tinggal lebih masa.

Tambahnya, mereka yang ditahan terdiri daripada 24 lelaki dan tiga wanita Myanmar; seorang lelaki dan tiga wanita Vietnam; 24 lelaki Bangladesh; masing-masing lima lelaki dan wanita Indonesia; empat lelaki Nepal serta seorang lelaki warga India.

"Kesemua yang ditahan telah dibawa untuk proses dokumentasi seterusnya akan ditahan di Depot Imigresen Juru untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Izham, pihaknya akan terus menjalankan operasi bersepadu berkenaan setiap masa dengan mensasarkan tempat-tempat tumpuan warga asing.

Tambahnya, kesiapsiagaan Bahagian Penguat Kuasa Imigresen adalah pada setiap masa tanpa mengira waktu walaupun pada hari biasa atau cuti perayaan dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara. - UTUSAN ONLINE