Azam Baki
AZAM BAKI

Menurut sumber, Timbalan Pengurus Besar berusia 44 tahun dan Pengarah Projek Selatan 1 berusia 55 tahun itu masing-ma­sing ditahan antara pukul 3 petang dan 4 petang di pejabat SPRM Johor.

Ujarnya, kedua-duanya ditahan bagi membantu siasatan kerana meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor untuk mela­yakkan mereka menerima bayaran penuh daripada tuntutan bulanan bagi kerja-kerja penyelenggaraan landskap syarikat itu.

Jelasnya, seorang wanita yang merupakan pembantu peribadi kepada Timbalan Pengurus Besar berkenaan yang berusia 34 tahun turut ditahan di lokasi yang sama bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Hasil siasatan SPRM mendapati, Timbalan Pengurus Besar dan Pengarah Projek Selatan 1 tersebut akan memastikan kontrak landskap di bawah seliaan mereka dianuge­rahkan kepada lapan buah syarikat melalui tiga peringkat iaitu E-Bidding, One Off Contract dan Maintainance yang berjumlah kira-kira RM44 juta.

“Difahamkan, Timbalan Pe­ngurus Besar tersebut akan me­ngarahkan eksekutif syarikat untuk memberi markah sebanyak 80 peratus kepada syarikat kontraktor yang bertanggungjawab atas kerja-kerja penyelenggaraan landskap supaya mereka me­nerima bayaran penuh daripada tuntutan bulanan yang dikemukakan,” katanya di sini hari ini.

Sumber memberitahu, Pengarah Projek Selatan 1 yang mempunyai bidang kuasa untuk me­lantik kontraktor, pembekal dan juru runding selain meluluskan pembayaran juga akan meluluskan tuntutan yang dikemukakan oleh kontraktor-kontraktor ber­kenaan supaya mereka menerima bayaran penuh seperti yang dinya­takan dalam kontrak.

Tambahnya, maklumat awal yang diperoleh oleh pasukan penyiasat mendapati terdapat bayaran yang mencurigakan melebihi RM2.4 juta dimasukkan ke akaun bank milik Timbalan Pengurus Besar syarikat dan isterinya daripada la­pan buah syarikat kontraktor berkenaan melalui empat orang proksi.

“Keempat-empat proksi tersebut turut ditahan antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari di ibu pejabat SPRM, Shah Alam, Klang dan Melaka. SPRM juga menyita 15 akaun milik Timbalan Pengurus Besar tersebut dan syarikat kontraktor yang mengandungi wang berjumlah RM360,000 bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Ke­tua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, pasukan penyiasat telah pergi ke beberapa lokasi termasuk syarikat kontraktor untuk mengambil dokumen-dokumen berkenaan untuk membantu siasatan.

“Kita akan meneliti kesemua dokumen yang dirampas untuk mengenal pasti sama ada wujud­nya elemen rasuah dan salah guna kuasa. Kesemua suspek dijangka direman di Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.