Tujuh lelaki berumur antara 25 hingga 35 tahun itu ditahan dalam satu operasi ketika mereka baru sahaja tiba di Terminal Bas Bandar Tasek Raja, Pasir Mas, kira-kira pukul 4.40 petang.

Turut ditahan ialah seorang pemandu kereta jenis Honda Accord berusia 32 tahun yang dipercayai akan membawa semua suspek ke lokasi seterusnya.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata, siasatan awal mendapati tujuh warga asing terbabit dipercayai masuk ke negara ini tanpa dokumen sah sekitar dua atau tiga bulan lalu dan merancang untuk bekerja secara haram di negeri ini.

“Bertindak atas maklumat awal, anggota Jabatan Imigresen dan Aksem membuat risikan sebelum mendapati sebuah kereta dipandu warga tempatan sedang menunggu di terminal bas berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Selepas menunggu lebih kurang 15 minit di situ, tujuh lelaki muncul untuk menaiki kenderaan warga tempatan terbabit. Pasukan kami segera menahan kereta tersebut,” katanya,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati ketujuh-tujuh suspek tidak memiliki sebarang dokumen sah bersama mereka.

“Lelaki tempatan itu di tahan di Balai Polis Tanah Merah manakala tujuh PATI tersebut di tahan di Depot Imigresen Tanah Merah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007. - UTUSAN ONLINE