Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada wanita warga Thailand seramai 23 orang, Filipina (19), Vietnam (sembilan), Indonesia (lima) Turkmenistan (satu) dan tujuh lelaki warganegara Bangladesh.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di kelab malam terbabit sekitar kawasan Damansara itu mendapati kesemua wanita tersebut menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial, Pas Isteri Kepada Warganegara, dan juga Pas Pelajar untuk bekerja sebagai GRO.

Tambah beliau, mereka ditugaskan menemani sambil minum bersama dengan pelanggan. Setiap minuman keras yang dipesan melalui wanita itu, komisen akan peroleh ke atas setiap pesanan.

“Pada masa sama, pelanggan juga akan belanja wanita terbabit dengan minuman khas wanita atau lebih dikenali sebagai ‘ladies drinks’ berharga RM20 setiap gelas yang akan diambil kira sebagai tip untuk mereka.

“Wanita terbabit akan meminta pelanggan ‘ladies drinks’ untuk mereka sekurang-kurangnya dua atau tiga gelas bagi setiap orang untuk mencapai sasaran harian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mustafar memberitahu, pihaknya turut menahan tiga lelaki tempatan disyaki sebagai penyelia premis selain merampas wang tunai sebanyak RM3,550 dipercayai hasil jualan pada hari tersebut.

Katanya, sebanyak tujuh notis dikeluarkan kepada pekerja, penjaga premis dan pelanggan untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen. Kesemua tahanan itu ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan susulan.

“Siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE