Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, sejak Januari lalu hingga kini, seramai 60 warga India telah ditahan dalam serbuan di seluruh negara.

Menurutnya, dalam serbuan terbaharu yang bermula Jumaat lalu hingga semalam, lima lelaki rakyat India telah ditahan polis di negeri ini kerana disyaki terlibat dalam aktiviti memproses dadah dipercayai jenis syabu yang nilai rampasannya mencecah RM2.4 juta.

“Sebelum ini, kegiatan memproses dadah banyak dilakukan oleh warga China dan Taiwan tetapi sejak akhir-akhir ini oleh warga India.

“Kita akan siasat sama ada mereka ini baru belajar atau mempunyai kemahiran tinggi dalam kegiatan itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Risikan/Operasi JSJN, Datuk Kang Chez Chiang dan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohamad Mat Yusop.

Dalam pada itu, menjelaskan mengenai serbuan terbaharu yang dilakukan, Mohmad memberitahu, serbuan tersebut dibuat ke atas dua premis yang dijadikan makmal memproses dadah dipercayai jenis syabu masing-masing di Linggi dan Port Dickson.

Ujarnya, selain lima lelaki warga India, turut ditahan ialah seorang lelaki tempatan dan ke­semua suspek berusia lingkungan 21 hingga 40 tahun.

Tambahnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis yang terletak bersebelahan kandang kambing di dalam sebuah ladang sawit di Linggi, manakala serbuan kedua di sebuah rumah di Port Dickson.

“Polis telah merampas lima kilogram (kg) ketulan kristal disyaki syabu, cecair meth oil (45kg), serbuk bahan kimia (50kg), ketuhar, balang kaca dan dapur. Nilai keseluruhan rampasan dadah ini ialah kira-kira RM2.4 juta,” ujarnya.