Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya telah merakamkan percakapan 10 pelajar tingkatan tiga dan empat sekolah berkenaan yang kini telah digantung sekolah kerana mendatangkan kecederaan fizikal terhadap mangsa terbabit.

Menurutnya, keenam-enam mangsa itu dikatakan lebam di beberapa anggota berkenaan akibat dipukul dan ditumbuk pelajar senior terbabit.

“Kecederaan itu bagaimanapun tidak serius. Pihak polis sedang dalam proses untuk mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

“Kita tidak mahu isu ini tular dan mendakwa polis tidak mengambil tindakan. Tiada apa yang hendak kita lindungkan kerana kes ini melibatkan remaja bawah umur, jadi kita tidak meng­uar-uarkannya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini hari ini.

Dalam kes berasingan, Mohamad Zainal berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun selepas menemukan pelbagai jenis mercun termasuk 32 peket mercun bola yang keseluruhan bernilai RM2,000 disembunyikan dalam bonet kereta jenis Proton Waja dipandunya di Kampung Gajah, tengah hari semalam.

Beliau berkata, lelaki itu ditahan oleh dua kenderaan pelbagai guna (MPV) polis selepas memandu dalam keadaan mencurigakan ketika sedang menuju ke rumahnya bagi menyimpan mercun berkenaan kira-kira pukul 12.45 tengah hari.

“Hasil siasatan mendapati suspek yang bekerja sebagai penyedia perkhidmatan alat mesin basuh, tidak mempunyai rekod lampau tetapi pernah mendapatkan bekalan mercun daripada orang tengah sebelum ini.

“Kita percaya bekalan yang diperoleh daripada kawasan berdekatan itu akan dijual di pasar atau bazar Ramadan sekitar Kampung Gajah tidak lama lagi,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak memiliki, membeli, menjual serta bermain dengan sebarang jenis mercun yang diharamkan oleh kerajaan.

Tambah beliau, sekiranya sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sebanyak RM10,000 dan penjara tidak kurang tujuh tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.