Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4 pagi ketika penghuni di flat berkenaan sedang nyenyak tidur.

Kata beliau, seorang saksi bagaimanapun terjaga selepas terdengar letupan dari lokasi kejadian sebelum bertindak menghubungi pihak berkuasa.

“Motosikal yang hangus sepenuhnya itu terdiri daripada lima buah jenis kapcai dan satu motosikal KTM.

“Siasatan kini sedang dijalankan termasuk menentukan punca kebakaran dan mengenal pasti pemilik kesemua motosikal ini,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Menurut Che Zaimani, siasatan di lokasi kejadian mendapati kawasan itu tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) selain tiada saksi yang berada di lokasi ketika kejadian.

Sehubungan itu, beliau menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut tampil di mana-mana balai polis berhampiran dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE