Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Mazlan Hassan berkata, kesemua suspek berusia antara 19 hingga 42 tahun itu ditahan dalam operasi yang dige­rakkan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di Chenor dan Sungai Jerik di sini.

Katanya, dalam serbuan pertama pada pukul 11.15 malam, Rabu lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang bekerja sebagai juruelektrik kerana disyaki mengedar dadah di belakang tandas Plaza Tol Chenor.

“Ketika serbuan, lelaki berke­naan bertindak agresif dan cuba melarikan diri tetapi dengan kecekapan anggota polis, suspek berjaya ditangkap.

“Polis turut merampas 1.816kg heroin, 100 gram syabu dan 27.8 gram Eramin 5. Suspek direman bermula Khamis lalu sehingga esok,” katanya dalam sidang akhbar di IPD hari ini.

Mazlan berkata, polis kemudian menyerbu sebuah rumah sewa di Sungai Jerik dan menahan lima lelaki yang disyaki pengedar dadah kira-kira pukul 5.30 pagi pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, hasil serbuan itu, sebanyak 57.75 gram sya­bu, 44.93 gram heroin, 2.94 gram ganja serta lima gram Eramin 5 dirampas.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.