Insiden itu bermula selepas dua buah kereta terlibat dalam kemalangan menyebabkan berlaku perang mulut antara mereka hingga tercetus pergaduhan antara kedua-dua pihak.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 1.15 petang ini sebelum anggota Unit Kereta Peronda (MPV) tiba di lokasi untuk menyuraikan keadaan.

“Pihak polis telah mengarahkan pemandu dan penumpang kereta jenis Proton Satria Neo dan Toyota Vios untuk bersurai tetapi kesemua lelaki berusia 40-an itu enggan mematuhi dan tidak mempedulikan arahan.

“Pemandu Proton Satria Neo kemudiannya bertindak masuk ke keretanya dan mengundurkan kenderaan tersebut ke belakang dalam keadaan laju serta melanggar Toyota Vios serta kenderaan MPV polis,” katanya di sini hari ini.

Jelas Mohamad Aminuddin, berikutan itu pihaknya telah menahan kesemua lelaki tersebut untuk dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dekat sini untuk disoal siasat.

Ujarnya, kesemua lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar. - UTUSAN ONLINE